Tarbiyah Bagi Aku...?
Manusia memerlukan tarbiyah, tidak kiralah dia tua ataupun muda. Kerana dengan tarbiyah dia diajarkan untuk menjadi manusia yang senantiasa berkeinginan untuk memperbaiki prestasi diri. Sekiranya dia seorang yang mementingkan diri, tarbiyah akan membuatkan dia seorang yang cinta pada umat dan berusaha untuk mengubah kondisi umat yang teruk ini. Sekiranya dia seorang yang tidak berpengetahuan luas, tarbiyah akan membuatkan dia seorang yang dahagakan ilmu pengetahuan, lebih-lebih lagi mengenai Islam dan sejarahnya..
Selama aku sendiri ditarbiyah, sudah banyak perkara yang cuba untuk aku ubahkan. Walaupun masih banyak sifat-sifat jahiliyah yang ada dalam diri, tetapi aku akan sentiasa cuba untuk memperbaikinya..
Inspirasi dan Kekuatan
Tarbiyah bagi aku, adalah sumber inspirasi dan juga sumber kekuatan. Di dalam halaqah, aku membina kefahaman dan juga pengetahuan. Sedikit sebanyak, dengan kefahaman dan pengetahuan itu aku menjadi orang yang banyak akal. Kalau dulu, mungkin aku berbicara hanya pada hal-hal yang remeh. Tetapi sekarang, bila berbicara pasti sahaja terlihat wawasan dan kematangan. Dan, dengan halaqah juga aku terjebak ke dunia blogging. Rasa ingin untuk menyampaikan sentiasa membara dan akhirnya, ‘Rasa’ itu diterjemahkan melalui bentuk tulisan.
Tarbiyah juga adalah sumber kekuatan bagi aku. Tatkala merasakan lemah, tazkirah dan pengisian daripada ikhwah yang dicintai sangat-sangat memberikan kesan dan melahirkan iltizam untuk berubah. Tidak cukup, andainya hanya berhalaqah.. Aku juga aktif dalam menyertai program dan juga mengurus program. Kadang-kadang, hanya dengan melihat wajah mereka aku sudah mendapatkan kekuatan. Itulah ‘kekuatan ruh’ yang hanya didapati pada orang yang beriman. Dan kekuatan itu asalnya daripada Allah swt.
Komitmen
Tarbiyah juga adalah komitmen. Kalau dulu, pada awal-awal aku ditarbiyah, mungkin tidak terasa beban untuk berkomitmen. Namun, lama-lama aku sendiri terlibat untuk menjadi murabbi, mas’ul dan juga sebagainya. Kalau mungkin tidak diberikan tanggungjawab, kita pasti sahaja akan berada di dalam ‘zon selesa’ dan akhirnya kita merasa tenang walaupun sudah bermaksiat. Tetapi, bila diberikan tanggungjawab dan amanah, aku merasakan sangat-sangat bersalah andai bermaksiat kepada Allah.
Contohnya, bila aku ‘down’(lemah iman), anak-anak halaqah aku juga pasti akan terkesan juga. Kadang-kadang bila ajak program, mereka semua jadi berat dan malas. Kadang-kadang bila ditanyakan ‘mutaba’ah’(ibadah tuntutan dalam halaqah), pasti mereka berdiam diri dan bila nak telefon, susah nak diangkat. Aku tahu, semuanya itu berasal dari kelemahan aku dan aku perlu sentiasa berhati-hati dan memupuk iman sehingga akhirnya aku betul-betul bertaqwa kepada Allah swt.
Bukan Jalan Yang Mudah
Tarbiyah bukanlah jalan yang senang untuk ditempuh. Perjalanannya panjang, dan memerlukan bekal yang bersesuaian untuk sampai ke tempat tujuan. Sekiranya bekal yang dibawa tidak bersesuaian, maka ianya hanya akan menambah beban di dalam perjalanan yang panjang. Lebih sukar lagi sekiranya jalannya membukit, memerlukan tenaga dan persiapan yang lebih rapi.
Pelbagai ujian yang mendatang, dan satu persatu dilalui. Dan setiap perjuangan yang ditempuh, pasti membekaskan luka sebagai peringatan di waktu hadapan. Namun, bagi aku setiap ujian tersebut tidak dapat melawan ujian kejenuhan dan ketakutan ketika ditarbiyah. Bila ditarbiyah, macam-macam rasa takut yang datang. Takut habis duit yang banyak, takut cita-cita tidak tercapai, takut ditangkap dan dituduh sesat, dan kadang-kadang takut tidak mampu berbuat. Namun, apa erti pengorbanan sekiranya berada di dalam keadaan senang dan tidak kehabisan wang. Maka, aku buang rasa takut dan datangkan rasa berani.
Ketika kejenuhan, pelbagai bisikan yang datang. Kadang-kadang terasa syu’ur (bermain perasaan) bila ditegur. Kadang-kadang, pengisian yang diberikan sudah acap kali didengari. Kadang-kadang, merasakan diri ini tidak dihargai. Tetapi, semua itu perasaan aku sendiri dan adalah tempat aku melatih diri untuk bersabar. Bukan mudah untuk bersabar dengan ragam manusia yang pelbagai. Ada yang menyakitkan hati, dan ada pula yang terlampau sensitif.
Lebih sukar lagi, semasa mahu istiqamah. Tidak ada rasanya perkara yang aku dapat konsisten berbuat. Dari sudut ibadah, ada sahaja turun naik, dari sudut akademik, mencungap-cungap untuk naik, dari sudut hubungan dengan kawan, kadang-kadang boleh terlupa nama kawan sekelas.. Wallahua’lam, Rasulullah saw sendiri beruban rambutnya memikirkan untuk istiqamah (11:112).
***
Sedikit sebanyak, tarbiyah telah mengubah banyak daripada hidup aku. Dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Namun, usia 3 tahun masih lagi sedikit berbanding ikhwah yang sudah bertahan selama puluhan tahun. Itupun aku sudah merasa jemu. Ish3..
Wallahua’lam, ini tarbiyah bagi aku.. Apa pula tarbiyah bagi anda?
Opick : Cahaya Hati
Allah engkau dekat
Penuh kasih sayang
Takkan pernah engkau
Biarkan hamba Mu menangis
Karna kemurahan Mu
Karna kasih sayang Mu
Hanya bila diri Mu
Ingin nyatakan cinta
Pada jiwa jiwa yang rela
Dia kekasih Mu
Kau yang selalu terjaga
Yang memberi segala
Allah Rohman Allah Rohim
Allahu Ya Ghofar Ya Nurul Qolbi
Allah Rohman Allah Rohim
Allahu Ya Ghofar Ya Nurul Qolbi
Di setiap nafas di segala waktu
Semua bersujud memuji memuja asthma Mu
Kau yang selalu terjaga
Yang memberi segala
Setiap makhluk bergantung padaMu
Dan bersujud semesta untuk Mu
Setiap wajah mendamba cinta Mu cahaya Mu